[VIDEO]Nadia Brian ‘PANAS’ Apabila Penampilannya Yang Dikatakan Semakin Seksi Mengundang Kecaman Netizen.

KUALA LUMPUR: Kemunculan aktres berdarah kacukan Melayu-Australia, Nadia Brian dalam dunia seni memberi impak tersendiri. Lumrah bakat baharu, gosip dan cerita ‘panas’ bagai rencah yang terpaksa ditelan dalam mencari pengaruh, biarpun kadangkala berpunca daripada perlakuan sendiri.

Baru-baru ini, Nadia ‘panas’ apabila penampilannya yang dikatakan semakin seksi mengundang kecaman netizen. Ramai menganggap pelakon berusia 26 tahun itu lebih seksi berbanding ketika mula-mula muncul di persada seni.

Isu seksi itu makin hangat diperkatakan selepas Nadia memuat naik beberapa foto percutian di Pulau Perhentian, Terengganu, baru-baru ini.

Enggan melatah, Nadia atau nama sebenarnya, Nadia Najwa Mohamed Rashidi menafikan pandangan netizen bahawa dirinya semakin seksi.

“Bagi saya, sama sahaja macam dulu. Saya tidaklah terlalu seksi seperti diperkatakan ramai. Cuma sekarang saya berambut panjang, mungkin nampak lebih seksi,” katanya kepada BH Plus.

Loading…
Nadia berkata, dia lebih suka menjadi diri sendiri dan sentiasa selesa dengan imej ditampilkan.

“Biarlah orang nak cakap apa sekalipun, saya rasa ia hanyalah perkara remeh. Saya tidak terlalu mengambil pusing apa yang diperkatakan netizen,” katanya.

Nadia bersyukur keluarganya faham dengan setiap perkara berlaku.

Paling penting bagi dirinya, berbekal sokongan merekalah, Nadia terus positif berdepan gosip liar dan kontroversi dunia seni.

Tiada hubungan istimewa
Tidak cukup cerita seksi, nama pelakon Dendam Aurora ini turut dikaitkan dengan bekas suami seorang aktres. Lelaki yang didakwa ahli perniagaan itu dikatakan pernah keluar dengannya. Namun, Nadia menafikan adanya hubungan istimewa dengan lelaki berkenaan.

Nadia berkata, ia sekadar khabar angin yang pantas dikongsi ramai. Sekali lagi, Nadia tidak mengambil berat mengenainya, malah menganggapnya resam menjadi selebriti.

Katanya, dia juga tidak tertekan dengan kecaman mengenai dirinya menerusi laman sosial, sebaliknya lebih gemar mengambil apa yang terjadi sebagai nasihat.

“Apa saja komen terhadap saya, saya terima sama ada baik atau buruk. Saya anggap mereka yang memberi komen itu mengambil berat mengenai saya. Saya berterima kasih atas sikap itu dan menerima segala teguran dengan hati terbuka.

“Tidaklah saya mahu menepis apa-apa yang diperkatakan. Ini kerana saya percaya zaman sekarang orang ramai sudah semakin bijak, mereka tidak menghentam semena-mena,” katanya.

Teringin jadi penyanyi
Nadia yang mula dikenali melalui drama Akulah Balqis berkongsi hasrat menjadi penyanyi.

Baginya, alang-alang sudah menceburi bidang seni, mengapa tidak mengintai peluang yang ada dalam bidang nyanyian.

Apatah lagi, akui Nadia dia minat menyanyi biarpun bakatnya tidaklah seperti penyanyi hebat.

“Kalau ada peluang, pasti saya tidak menolak merakamkan single. Tapi diakui saya perlu mempelajari ilmu vokal sebelum merakamkan lagu sendiri,” katanya.

Selain itu, Nadia juga terbabit dalam dunia pengacaraan apabila diberi peluang mengendalikan program Jom Fesyen yang disiarkan HyppTV.

Bagaimanapun, Nadia tetap mengutamakan karier lakonan kerana jiwanya lebih terarah kepada cabang seni itu.

INFO
Mula dikenali menerusi drama Akulah Balqis yang disiarkan TV3 pada 2015.
Akan tampil dengan filem pertamanya berjudul Mak. Filem arahan Jeany Amir itu menggandingkan Nadia bersama Remy Ishak, Nadiya Nisaa, Rashidee Ishak, Dian P Ramlee dan Eidil Putra.
Akan tampil dengan filem Blok 404, arahan Azma Aizal Yusoof yang turut menampilkan Fasha Sandha, Nur Risteena Munim, Amar Asyraf, Aedy Ashraf dan Adrea Abdullah.
Pernah dicalonkan dalam kategori Artis Baharu Wanita Popular pada Anugerah Bintang Popular BH (ABPBH) 3.0, Mei lalu.
Lulusan Diploma Seni Persembahan dan Ijazah Sarjana Muda Komunikasi dan Pengajian Media (Penyiaran) dari Universiti Teknologi MARA (UiTM).

 

Sumber BHOnline

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *